Saturday, January 8, 2011

Wang Kertas Dolar Amerika Tiada Ikatan Emas – Bretton Wood Gagal.

Hampir semua sistem matawang dunia sekarang ini menggunakan wang kertas dan kini sistem matawang dunia telah mula berubah wajah, kepada unit dalam bentuk signal komputer yang disimpan dalam cip elektronik berbentuk kad. Apakah wang dan peranan wang dalam penghidupan bermasyarakat?


Fungsi wang adalah untuk memisahkan antara membeli dan menjual dan membolehkan manusia berdagang dan bertukar sesuatu tanpa perlu melakukan pertukaran langsung barangan seperti kambing dengan gandum, gula dengan minyak dan sebagainya. Oleh itu wang berfungsi sebagai media pertukaran yang diterima secara umum untuk pembayaran barang, perkhidmatan dan juga hutang. Wang juga digunakan sebagai unit piawaian yang mengukur nilai ekonomi barang dan perkhidmatan yang berbeza. Jadi kita boleh mengukur apa yang kita ada dengan mudahnya. Mengikut sejarah, banyak benda pernah digunakan sebagai wang – garam, tembakau, lada hitam, kulit lembu dan kerang. Tetapi emas dan perak telah diterima sebagai matawang sejak lebih 2500 tahun yang lalu. Emas dan perak mempunyai nilai intrinsik, mempunyai nilai tersendiri yang diinginkan serta mempunyai sifat yang sesuai sebagai matawang. Wang emas dan perak telah digunakan sebelum kedatangan Islam dan semasa kegemilangan pemerintahan Islam, kejatuhan pemerintahan kerajaan Uthmaniah dalam tahun 1924 menyaksikan penggunaan wang kertas secara meluas di seluruh dunia.


Wang kertas tidak mempunyai nilai instrinsik. Ianya boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu apa yang diistilahkan sebagai “fiduciary money” iaitu wang helah atau “wang janji” yang membawa janji membolehkan pembawa resit menuntut kembali emas atau perak. Wang janji ini hanyalah sekeping kertas yang mewakili sesuatu yang bernilai. Jenis kedua dikenali sebagai “fiat money”, iaitu wang hampa yang dikeluarkan oleh kerajaan atau bank, sesuatu yang tidak mempunyai nilai intrinsik atau tidak bernilai – iaitu kepingan kertas berbagai-bagai warna, kertas itu sendiri tidak mempunyai nilai selain nilai illusi yang tercetak padanya. Wang inilah yang digunakan di seluruh dunia sekarang ini.


Di dunia barat, wang kertas mula diperkenalkan di awal kurun ke 12 oleh pedagangan dan penyimpan wang emas. Tukang emas akan menyimpan emas dan wang emas dengan mengeluarkan resit simpanan. Resit ini kemudiannya boleh digunakan untuk menuntut kembali emas yang disimpan. Resit ini boleh ditukar milik dan digunakan untuk pertukaran barangan. Tukang emas yang tamak mendapati ada sejumlah wang yang tidak dituntut setiap bulan dan mereka mengeluarkan resit lebihan kepada sesiapa yang ingin meminjam dengan dikenakan faedah untuk menampung wang yang tidak ada yang telah dipinjamkan oleh tukang emas. Maka lahirlah apa yang dikatakan bank dan wang kertas. Bank adalah tukang emas yang membuat duit dengan duit orang lain melalui faedah manakala wang kertas adalah nota dan resit edaran beserta faedah yang dikenakan.


Tradisi ini diteruskan sehingga sekarang ini. Memberi pinjaman dengan faedah membolehkan sesiapa yang mempunyai wang membuat lebih banyak wang. Tetapi yang boleh manjalankan aktiviti ini hanyalah institusi kewangan sahaja dan individu yang melakukannya akan di tangkap dan didenda. Sistem perbankan moden kini menguasi segala aspek penghidupan manusia di seluruh dunia dan sistem riba telah mencengkam sehinggakan kita dapati masyarakat sekarang ini amat sukar menerima penghidupan tanpa wang kertas, tanpa kad kredit, tanpa riba, tanpa dividen dan faedah. Penguasaan ini menyeluruh sedangkan semua agama mengharamkan riba, kecuali Yahudi yang melarang riba dikenakan di kalangan bangsanya tetapi boleh dikenakan kepada bangsa lain. Masyarakat dunia kini telah ditukar pemikiran untuk menerima sistem moden berteraskan riba untuk menguasai penghidupan mereka atau tidak dapat memikirkan jalan lain bagi melepasi diri daripada cengkaman sistem riba yang menguasi semua aspek penghidupan tidak kira dia seorang ulama atau buruh kasar. Inilah realiti sekarang!


Wang kertas yang tidak mempunyai nilai intrinsik membolehkan ianya dimanipulasi dan dispekulasikan. Ini menyebabkan nilai wang kertas sentiasa berubah dan tidak tahan mengikut masa. Wang kertas tahun 1957 sudah tidak laku lagi sekarang, sekilo beras tahun 1960 bersamaan 50 sen sekarang ini sekilo beras tidak lagi bersamaan 50 sen. Di zaman Rasulullah s.a.w, seekor ayam bersamaan dengan 1 dirham, dan sekarang ini harga seekor ayam pun bersamaan dengan 1 dirham. Tidak terdapat sebarang inflasi terhadap matawang emas dan perak sejak lebih 1500 tahun yang lalu. Bolehkah kita katakan yang sama terhadap wang kertas? Inilah hakikat wang kertas, wang riba yang dijana oleh bank yang menyusutkan kuasa membelinya oleh faedah yang dikenakan keatasnya. Sebungkus nasi lemak dalam tahun 1965 adalah 10sen, sekarang ini ianya bernilai RM1.50, jadi apakah panduan yang boleh kita pegang terhadap media pertukaran yang ada pada kita. Wang kertas sudah tidak mempunyai piawai nilai, wang kertas telah berubah fungsi.


Fungsi wang sebagai media pertukaran barang, pembayaran upah dan perkhidmatan kini telah berubah menjadi komoditi dan telah diperniagakan. Nilai wang kertas sudah tidak lagi disandarkan kepada apa-apa kecuali kepercayaan yang diberikan kepadanya. Hampir semua matawang dunia menyandarkan matawang mereka kepada dolar Amerika atau dolar Euro. Tetapi apakah sandaran dolar Amerika dan dolar Euro?


Kekuatan USD Suatu Ilusi


Sebenarnya dolar Amerika hanya bersandarkan kepada permintaan dan kepercayaan dunia. Hampir lebih 80% perdagangan dunia dijalankan menggunakan matawang dolar Amerika dan oleh kerana kepercayaan inilah maka dolar Amerika itu dikatakan kuat. Padahal ianya tidak disandarkan kepada apa-apa komoditi. Amerika Syarikat akan sentiasa memastikan kekuatan ini akan kekal dengan menggunakan kuasa monopoli yang ada padanya menerusi syarikat gergasi dunia, agensi dunia yang dikuasainya seperti WTO, GATT, G7 serta kekuatan tentera bahawa dolar Amerika akan terus kekal mengusai matawang dunia. Malah dalam beberapa artikel mengenai perang di Iraq dikenalpasti salah satu punca penawanan negara itu adalah kerana pengistiharan Sadam Hussein, bekas presiden Iraq untuk menuntut bayaran minyak yang dijual untuk makanan dibayar menggunakan Euro dolar. Selepas pengistiharan tersebut beberapa negara lain di timur tengah turut serta mengisytiharkan untuk menggunakan Euro dolar. Kesannya dolar Amerika susut hampir 20%. Dolar Amerika nampak kuat tetapi tidak mempunyai sandaran kecuali kepercayaan yang dipaksa keatasnya. Jadi, bagaimana dengan ringgit Malaysia yang disandarkan kepada dolar Amerika yang tidak disandarkan kepada sebarang komoditi ini? Dolar Amerika dimulakan dengan resit wang emas yang boleh digunakan untuk menuntut wang emas, kemudian menjadi wang kertas yang disandar dengan emas.


Perancangan Bretton Woods


Setelah tamat perang Dunia ke-2, pembangunan semula negara-negara di Eropah memerlukan begitu banyak perbelanjaan. Bank Dunia telah di bentuk dengan tujuan utama bagi membantu pembangunan semula Eropah. Bank Dunia telah menjalankan banyak pembangunan infratruktur utama dalam tahun 1950-1960an, pembangunan asas manusia dan penghapusan kemiskinan dalam tahun 1970an.


Pada waktu yang sama didapati sistem matawang dunia tidak stabil, kadar pertukaran antara matawang negara tidak menentu. Untuk menstabilkan matawang dunia, beberapa buah negara dunia telah membuat perancangan Bretton Woods di mana negara-negara pedagangan utama setuju mendefinasikan nilai matawang masing-masing dengan disandarkan kepada piawaian emas dan memastikan tidak berlaku perubahan nilai antara satu sama lain tanpa mendapat kebenaran IMF (International Monetory Fund). Sistem di mana emas dan perak digunakan sebagai piawaian perbandingan yang tetap (fixed ratio) terhadap satu sama lain. Sistem ini juga disebut sebagai sistem dwi-logam atau bimetalisme. Dari perancangan ini terbentuklah sebuah institusi yang dikenali sebagai Intitusi Bretton Wood yang terdiri daripada tiga institusi yang menguasai berbagai bidang ekonomi dunia iaitu Bank Dunia (World Bank), IMF (International Monetary Fund) and GATT (General Agreement on Tariffs and Trade). IMF telah menubuhkan sebuah sistem yang menetapkan kadar pertukaran dengan menetapkan nilai dolar disandar kepada emas pada kadar $35 setiap auns.


Pada zaman pemerintahan Richard Nixon, pada tahun 1970 ikatan dolar US dengan emas diputuskan dan nilai wang kertas dibiarkan mengembang mengikut kuasa pasaran. Dengan pengistiharan ini, perancangan Breton Wood dengan otomatiknya terhapus, ikatan yang diawasi oleh IMF terbatal, nilai wang kertas kini tidak lagi ada piawaian. Keruntuhan Bretton Woods bermulanya penolakan Amerika Syarikat menjadikan emas sebagai jaminan terhadap dolar AS. Ungkapan “the dollar is as good as gold” secara langsung terbatal. Emas tidak lagi digunakan sebagai piawai kepada dolar Amerika diikuti dengan susut nilai USD dengan kenaikan harga emas dari 35USD kepada 38USD per ouns sejak tahun 1934. Seterusnya USD susut nilai sebanyak 10% dalam tahun 1973 dan menaikan harga emas kepada 42USD per ouns. Seterusnya harga emas tidak terkawal lagi dan sehingga kini nilai USD sudah susut nilai melebihi 90% dan akan terus susut nilai. Jika kita terus menyandarkan nilai ringgit kita kepada USD, kita akan turut susut nilai mengikuti jejak penyusutan nilai USD.


Ringgit Malaysia pernah di manipulasi dan dispekulasikan dalam tahun 1997 dan kiat mengalami kemerosotan nilai ringgit sehingga 60%. Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku lagi. Manipulasi matawang USD akan memberi kesan kepada Ringgit Malaysia dan negara kita akan menerima akibatnya. Sejarah menunjukkan bahawa salah satu punca kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthmaniah adalah melalui pengenalan penggunaan wang kertas dan manipulasi ekonomi. Perkembangan perdagangan barat yang telah menggunakan sistem wang kertas, memulakan perdagangan dikalangan kerajaan pemerintahan Islam di Istanbul pada tahun 1840 dan 1842. Pengenalan ini telah membawa sesuatu yang asing dan ganjil dikalangan umat Islam dengan penubuhan Osmanli Bankasi atau Bank Ottoman. Lahirnya bank dikalangan umat Islam merosakkan dan mengelirukan sistem ekonomi umat Islam yang berdagang tanpa riba dan menggunakan matawang dinar emas dan dirham perak. Secara beransur-ansur, kuasa barat mula memaksa pemerintah Islam untuk berkembang di atas nama kemajuan dan pembangunan (progress and development). Dalam tahun 1858 apabila Mustafa Resit Pasa telah secara paksa mengambil pinjaman luar dengan faedah sebanyak 60% bersama dengan berbagai ikatan reformasi, telah secara beransur-ansur melemahkan pemerintahan negara Islam. Mulanya kehancuran sistem pemerintahan khalifah Islam di Istanbul bukan kerana kekalahan dalam peperangan tetapi terhelah dengan sistem beriba yang seterusnya melemahkan umat Islam. Ekonomi moden terus diperkenalkan dikalangan umat Islam di selruh dunia sehinggalah ke hari ini. Ekonomi moden sekarang ini sentiasa menumpu kepada “pertumbuhan” – pertumbuhan kredit dan pengembangan perdangan, pertumbuhan ekonomi. Adakah pertumbuhan ini berkekalan? Adakah sah kita katakan pertumbuhan ekonomi berasaskan kredit ini sahih? Apakah memperkenalkan matawang umat Islam dinar emas dan dirham perak sebagai suatu impian seperti ditanyakan kepada Tun Dr. Mahathir Muhammad?


Jelas setelah mengenali masalah yang ada pada wang kertas dan tidak adanya lagi sandaran wang kertas kepada apa-apa selain kepercayaan semata-mata, ini menjadikan usaha mengembalikan dinar emas atau IGD bukan suatu impian. Ianya sudah menjadi sesuatu yang sangat diinginkan dan diharapkan, sesuatu sistem yang mantap. Ini boleh dilaksanakan kerana emas mempunyai nilai intrinsiknya tersendiri. Cadangan dan saranan supaya dinar emas digunakan bagi perdagangan antarabangsa bagi mengelakkan kebergantungan kepada dolar Amerika dan kerugian di mana-mana pihak disebabkan oleh perubahan nilai pertukaran (foreign exchange) perlu diteruskan. Walaupun negara kita kecil, tetapi secara kecilan boleh memperkenalkan penggunaan dinar emas, meningkatkan pengetahuan masyarakat akan pentingnya untuk kita mengembalikan dinar emas. Riba adalah musuh manusia sejagat. Usaha mengembalikan dinar emas mestilah berteraskan untuk mencari alternatif kepada sistem matawang yang mengandungi riba.


Sumber:http://www.fs.utm.my/~ddrg/index.php?option=com_content&view=article&id=103:wang-kertas-dolar-amerika-tiada-ikatan-emas-bretton-wood-gagal&catid=36:article&Itemid=41#

No comments:

Post a Comment